Saudara seagama

Abdullah bin Umar r.a berkata , Rasulullah bersabda :



Seseorang muslim dengan muslim yang lain adalah bersaudara . Tidak boleh menganiaya dan menundukkannya . Barang siapa yang melaksanakan hajat seorang muslim , maka Allah akan melaksanakan hajatnya . Dan sesiapa yang melepaskan kesulitan seorang muslim , maka Allah akan melepaskan kesulitannya di hari kiamat dan barang sesiapa yang menutup aib seorang muslim , maka Allah akan menutup aibnya dihari kiamat .

Friday, February 3, 2012

Syukran Ya Rafiq!

Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim , "Rakan yang baik diibaratkan seperti penjual minyak kasturi. Dia mungkin memberikan sedikit minyak itu kepadamu atau kamu boleh membeli minyak itu terus daripadanya. Paling kurang kamu dapat mencium bau minyak wangi itu,".
Seorang sahabat tidak menyembunyikan kesalahan untuk menghindari perselisihan, justeru kerana kasihnya dia memberanikan diri menegur apa adanya. Sahabat juga tidak pernah membungkus pukulan dengan ciuman, tetapi menyatakan apa yang menyakitkan hati dengan tujuan ingin sahabatnya berubah.

Kes 1
Aku: A, terima kasih dalam bahasa Korea, ape?
A: Kamsahamida/ Komawo
Aku: Owh...(sambil menulis)
A: Erm...BM-terima kasih, BI-thank you, Cina-chae2, Tamil-Nandrae, Jepun-arigato,
B.Arab-Syukran.
Aku: hanya mengangguk.
A: Erm...ni lagi best. BI-I love You, Cina-Wo ai ni, Jepun-aishiteru, korean-sarang hae yo,
Arab-ana uhibbuka, Mexico-ti amo, Filipina-mahal na, mahal kita.
Aku: Banyaknya bahasa....
A: B, sarang hae yo...
Aku: wo ai ni...

Kes 2
Aku: D, aku malasla nak ulang kaji lagi.
D: Hanya memandang.
Aku: D, malaslah...dah letih dah ni. (merungut entah untuk berapa kali)
D: B, kalau 44 kali ulang benda yang sama, jadi doa tau. Kalau lebih 200 kali cakap benda yang
sama, betul2 jadi dalam hidup.
Aku: (Terdiam). Ok2. Aku rajin, aku rajin...sikit je nak habis ni.

Kes 3
Aku: D, kalau aku tulis nota, pastu selit celah laci ni, cikgu tak tahu kan...
D: B, niat itu tak dikira berdosa.
Aku: Ok...aku tak buat. Cuma terlintas je.

Kes 4
C: B, nak pahala tak hari ni?
Aku: Ha?
C: Jom kita sapu kelas.
Aku: (Tersenyum...baru sedar yang hari ni aku bertugas).

Assalamualaikum...semoga kehadiran catatan ini mampu menjentik hati supaya mensyukuri nikmat yang Allah beri. Situasi di atas menggambarkan ketulusan hati sahabat dalam menegur atau menceriakan hari sahabatnya. Ya...mereka sahabat saya. Pelbagai lagi kata-kata hikmat dan nasihat yang mereka berikan, namun tidak mampu saya coretkan.
Alhamdulillah...kerana saya dipertemukan dengan sahabat yang ikhlas dalam persahabatan dan sedia menegur saya tatkala saya melakukan kesalahan. Walaupun adakalanya sesuatu perkara yang diungkapkan itu menyakitkan hati, namun amat bererti. Tanpa penyataan itu, saya tidak akan tahu kesalahan dan kelemahan saya.
Syukran ya rafiq...terima kasih wahai sahabat. Anda semua telah banyak membuka mata saya terhadap pelbagai perkara. Terima kasih juga kerana menasihati saya secara berhikmah. Ya, penting teguran itu secara berhikmah kerana niat menegur itu untuk memberi kesedaran, bukannya mengaibkan. Jika kita menegur seseorang dengan cara yang menyakitkan hati, sudah tentu nasihat itu tidak akan diterima, namun benci pula yang bersarang dijiwa.
Akhir kalam...persahabatan itu sangat indah, namun lebih indah jika kita bersahabat kerana Allah. Kerana dengan berkasih sayang kerana Allah... tatkala rakan kita bersalah, kita tidak akan mudah berasa marah. Tatkala nasihat kita tidak diambil peduli, kita tidak akan cepat berasa hati. Tatkala melihat rakan dalam masalah, kita tidak akan mengaku kalah. Kerana kita tahu, kita hanya mampu berusaha, namun hidayah itu milik Yang Esa.
Wassalam...

Wednesday, December 14, 2011

Tentang Ibu

Assalamualaikum...Sudah lama aku tidak menjengah ruang ini. Usah kata untuk mengukir kata, untuk melihat sahaja pun aku seperti telah kehilangan masa dan idea. Alhamdulillah...hari ini aku diberi kesempatan untuk mengisi ruang ini. Semoga apa yang aku coretkan di sini bakal menjadi sesuatu yang bermanfaat buat insan sejagat, jauh dan fitnah dan maksiat.

Selesai peperiksaan petang tadi, kami sempat berbual tentang program yang akan dilakukan sepanjang cuti selama 9 bulan. Rakanku sempat menceritakan pengalamannya menjaga anak saudaranya. Aku kembali teringatkan kenangan lalu. Ya, saat aku menjadi pengasuh sementara menanti keputusan SPM. Sukar? Begitulah yang dapat aku gambarkan. Aku bersyukur kerana diberi peluang untuk menjaga anak kecil yang berusia 2 tahun ketika itu selama 2 hari tanpa bantuan keluarga. Semuanya bermula apabila emak pergi menghadiri majlis konvokesyen kakak dan aku terpaksa menjaga kanak-kanak itu. Rutinku begini...

Aku mesti bangun sebelum pukul 6 pagi kerana aku terpaksa mengejutkan 2 orang adik lelaki supaya mereka tidak terlewat ke sekolah. Celik sahaja mata, aku harus fikirkan apa yang harus aku masak untuk sarapan mereka. Selesai menguruskan diri, aku akan mula mengejut mereka seawal pukul 6 pagi. Selepas itu, aku akan sibuk menyiapkan sarapan di dapur. Aku ingat ketika itu. 2 orang adikku ini memang liat bangun pagi. Lantas aku mencapai rotan dan melibas bantal peluk mereka. Zupp!!! Dengan muka bengis ( walaupun nak tergelak masa tu), aku memberi amaran, "Bangun!!! Sape tak bangun nanti kak ngah sebat macam tu,". Dengan muka mamai(nampakla muka takut tu), mereka segera ke bilik air. Dalam hati,"Hmmm, baru tau. Kejut elok2 tak nak bangun,". Itulah yang emak hadapi setiap hari.(tapi mak tak pernah la guna rotan nak kejut deme).

Selepas mereka pergi sekolah, aku hanya tinggal berdua dengan adik (budak yang aku jaga tu). Masuk pukul 10 pagi, aku kembali ke dapur, menilik-nilik apa yang harusku masak untuk makan tengah hari. Ketika ini aku diduga lagi. Adik akan mengangis jika ditinggalkan bersendirian di ruang tamu dan dia mahu didukung! Bayangkan...aku terpaksa memotong bawang,sayur dan memasak sambil mengendong adik. Tidak dapatku bayangkan perasaan aku ketika itu. Walaupun terasa susah, namun aku selesaikan juga urusanku (sebab pikir adik2 balik nak makan. Klu tinggal sorang2, sure tak masak masa tu). Teringat sewaktu aku tahun 4, aku perlu segera pulang ke rumah selepas sekolah agama (masa tu sekolah sesi petang) untuk mengendong adik bongsuku di dapur agar dia dapat melihat emak menjemur pakaian. (Klu x, mengangis je)

Apabila adik2ku telah pulang dari sekolah dan adik telah balik, barulah aku dapat merehatkan diri. Namun tidak lama kerana aku perlu siap membasuh dan menyidai pakaian pada malam tersebut.

Begitulah rutinku selama 2 hari. (nasib baik 2 hari)

Apabila mendengar cerita rakan-rakanku yang mereka tidak sanggup menjaga anak saudara mereka kerana pelbagai ragam dan keletah, aku tersenyum sendiri kerana aku juga pernah melaluinya. Ingatlah, kita ambil pengalaman itu seketika, namun ibu menjaga kita lebih lama. Memang bukan mudah, namun percayalah pengalaman itu sangat indah. Sehari-hari melayan keletah si kecil itu, memang amat meletihkan. Namun, setelah hampir 5 bulan menjaga adik dan apabila tiba ketika aku ingin menyambung pengajian, aku mula terfikir tentang adik. "Macam mana dengan adik kalau aku pergi sekolah nanti?", hatiku berdetik sendiri. Pulang dari sekolah pada hari pertama aku di tingkatan 6, emak menyatakan bahawa adik mencariku disegenap penjuru rumah dan emak menyatakan bahawa aku ke sekolah. Aku tersenyum sendiri. Sungguh, saat tension di sekolah, aku rindu untuk melihat keletah manja adik. Walaupun meletihkan, namun aku tidak pernah merasa bosan. Walaupun kesabaranku diuji, namun dalam hati tidak pernah berputik rasa benci. Malah rasa sayang dan rindu untuk menatap keletah si kecil itu sering bertamu. Subhanallah...masyaallah, hebatnya kuasa dan nikmat kasih sayang Allah itu. Tidak dapat aku gambarkan. Kerana itu, seorang ibu kekal mengasihi anaknya, walau kesabaran itu sering diuji.

Sekian sahaja coretan kata dariku buat kali ini. Semoga mata pena yang tidak bernyawa ini mampu lagi mengukir kata seindah bahasa bagi mengangkat agama dan menyuburkan lagi rasa cinta kepada-Nya.Wassalam...

Saturday, May 21, 2011

Feelhoney - Wanita Istimewa bersama Lirik

Bukan Mudah Jadi Remaja



Assalamualaikum. Salam bertemu kembali buat insan yang sudi membaca coretan ini. Perkara ini ditulis, bukan untuk mengata sesiapa,namun buat pedoman kita semua. Bukan berniat untuk mengajar, namun ingin mengajak kita berfikir sebentar.


Melangkah ke alam dunia remaja bukan semudah yang disangka. Cabaran dalam mengejar kejayaan masa depan dengan cabaran dan rintangan yang pelbagai, kadang-kala menggoyahkan keteguhan peribadi dan jati diri yang dipupuk selama ini. Bukan mudah hidup dalam dunia remaja. Berhadapan dengan konflik rakan sebaya, kerenah cinta yang sebelum masanya dan pencarian identiti diri yang masih belum dikenal pasti. Semuanya merungsingkan dan mengusutkan akal fikiran.Bagi insan yang positif dan kukuh pegangan pada janji Ilahi, semuanya dapat diatasi dengan teliti. Bagi insan yang leka dan alpa dengan ujian yang datang, mungkin kecundang ditengah perjalanan sehingga berputus asa dengan janji Tuhan.


Buat insan yang belum diuji, persiapkan diri dengan ilmu dan teguhkanlah peribadi. Terutamanya kepada mereka yang akan menjejakkan kaki ke alam menara gading. Ingat, situasi dan ujian di sana tidak sama dengan alam persekolahan kita. Jauh berbeza. Setiap apa yang kita lalui perlu difikirkan dengan teliti. Tak semua perkara jelas pada zahirnya, kadang-kala ada sesetengah perkara yang perlu kita lihat berdasarkan makna disebaliknya. Dalam erti kata lain, anda perlu menjadi penyiasat (ala2 Detektif Conan) untuk mencari sebuah jawapan yang benar dan tepat. Buat insan yang sedang diuji, panjatkan doa pada Ilahi. Moga Allah permudahkan perjalanan hidup kita dan diteguhkan iman dalam jiwa. Ingat, setiap keputusan yang kita ambil, jangan hanya berdasarkan kepentingan diri sendiri. Nilailah kesannya kepada orang lain dan agama kita. Sebagai individu muslim, kita perlu tahu bahawa setiap perkara yang kita lakukan, individu daripada agama lain akan buat penilaian. Jadi, baik buruknya pandangan mereka tentang Islam, adalah berdasarkan perilaku kita semua. Pada insan yang sudah diuji pula, jadikan semua ujian sebagai pengalaman yang mendewasakan fikiran. Bagi yang telah kalah, jangan terus mengalah. Kuatkan azam, insyaallah masa depan milik kita. Bagi yang berjaya, panjatkan syukur kepada-Nya. Jangan bongkak atau lupa, kerana setiap kemanisan kejayaan itu juga ujian buat kita.

Akhir kalam, buat hati yang diuji, kembalilah pada jalan Ilahi. Kerana kembara hidup ini belum pasti. Kita tak tahu sama ada kita sempat menghabiskan perjalanan, atau terhenti dipertengahan jalan. Kerana hidup ini belum pasti. Entah esok lusa, entah bila, kita bakal dipanggil menghadap-Nya. Carilah identiti diri, raihlah semangat perjuangan yang hakiki, mantapkan iman dihati, yakin pada janji Ilahi. Jaga kehormatan kita, muliakan agama kita. Semoga kita semua menjadi muslim yang sejati yang diredhai.