Saudara seagama

Abdullah bin Umar r.a berkata , Rasulullah bersabda :



Seseorang muslim dengan muslim yang lain adalah bersaudara . Tidak boleh menganiaya dan menundukkannya . Barang siapa yang melaksanakan hajat seorang muslim , maka Allah akan melaksanakan hajatnya . Dan sesiapa yang melepaskan kesulitan seorang muslim , maka Allah akan melepaskan kesulitannya di hari kiamat dan barang sesiapa yang menutup aib seorang muslim , maka Allah akan menutup aibnya dihari kiamat .

Thursday, December 29, 2016

Soalan Tanpa Jawapan

Menjawab persoalan
Yang aku sendiri tak punya jawapan
Soalan yang sama
Dari seribu manusia berbeza

Ingin kujawab tidak mahu
Bimbang dimurka Tuhan
Lalu kujawab tidak tahu
Agar ia penyelamat soalan itu

Namun aku silap jangka
Pada tidak tahu itu
Lebih banyak soalan ditalu

Akhirnya aku putuskan
Tak semua soalan inginkan jawapan
Lalu aku pilih untuk diam
Sebelum aku meluah dendam





30 Disember 2016

Saturday, April 26, 2014

TEMAN: Ditinggalkan Meninggalkan

Pelajar: Cikgu, perlu ke kita tiggalkan kawan kita yang tak baik?\
 
Cikgu : Ikut keadaan.
 
Pelajar: Jadi, macam mana kita nak ubah kawan kita kalau kita tinggalkan dia?
 
Cikgu  : Macam saya kata tadi, ikut keadaan. Kalau kamu rasa kamu cukup kuat untuk ubah dia, maka dekati dan ubah dia. Kalau kamu pun baru berubah dan rasa kalau bersama dia menyebabkan kamu kembali pada perangai lama, maka baik tinggalkan.
 
Pelajar: Jadi, takkan ada cara untuk saya yang baru berubah ni nak ubah dia?
 
Cikgu:  Indahnya Islam ni bila kita tak pernah terputus hubungan dengan orang lain kerana doa. Jadi, walaupun dah tak bersama dengan dia, tapi jangan pernah tinggal doa untuk dia. Moga2 satu hari nanti kita boleh kekal bersahabat dengan dia, dalam jalan yang sama.
 
 
"Sometimes we just have to let go of someone who matters to us not to because we want to...but because we have to. Because it's the right thing to do..."
 

Saturday, March 1, 2014

Kenapa terpisah dengan iman?

AKR: Kenapa terpisah dengan iman? (Soalan asal yang muncul dilaman muka buku, menjadi perbincangan lewat malam dalam peti pesanan).

AA: Sebab hati belum sepenuhnya mencintai Allah.
AA: Ada jawapan khusus?

AKR: Jawapan kira boleh diterima.
AKR: Cuma ada rugi sikit.

AA:???

AKR: Sebab AA bercinta dulu, baru bernikah. (satu penyataan yang menimbulkan salah faham si pembaca).

AA: Ha? Am I? Dengan sape?

AKR: Rilek2. Analogi je.

AA: (cuba hadam balik. Tarik fikiran kembali ke tajuk.)
AA: (Owh...maksudnya kenal Islam dulu, baru kenal Iman. Kerugian itu yang dimaksudkan).

AKR: Mana lagi best? Kenal char kuew teow ke kenal orang yang buat char kuew teow? (Analogi ditukar).

AA: Mestilah kenal dengan orang yang buat tu lebih baik.

AKR: Yup.
AKR: Tepat sekali.
AKR: Bila kita kenal, baru kita yakin nak makan dan tak was2.(dr segi penyediaannya, halal haramnya. Sebab kita yakin dengan orang yang buatnya).
AKR: Apa kata AA tukar...ambil iman,lepas tu Islam kemudian.

AA: Maksudnya kenal iman dulu, baru kenal Islam?

AKR: AA kenal pencipta, tahu siapa penyampai wahyu, tahu kitab yang menjadi rujukan (al-quran), tahu ada hari pembalasan.
AKR: Mesti best jadi orang Islam kan.

AA: Ya.

AKR: Ok. Perbincangan kita selesai di sini.

Pembacaan tentang perbincangan tu diulang buat kali kedua. Masih lagi cuba menghadam.

AKR: Kalau ada masa...cuba dengar lagu raihan...tajuk iman mutiara...hayati lirik lagu tu.

Ok, tak payah dengar sebab memang dah hafal.

Iman adalah mutiara
Di dalam hati manusia
Yang meyakini Allah
Maha Esa Maha Kuasa
(Iman itu merupakan keyakinan terhadap Allah atas segala yang terjadi. Rukun Iman itu ada 6 perkara. Highlight beriman kepada Qada' dan Qadar)

Tanpamu Iman bagaimanalah
Merasa diri hamba pada-Nya
Tanpamu Iman bagaimanalah
Menjadi hamba Allah yang bertaqwa.
(Iman itu mengajar manusia berjiwa hamba. Yang akur pada arahan pencipta-Nya.)

Iman tak dapat diwarisi
Dari seorang ayah yang bertaqwa
Ia tak dapat dijual beli
Ia tiada ditepian pantai

Walau apa pun caranya jua
Engkau mendaki gunung yang tinggi
Engkau merentas lautan api
Namun tak dapat jua dimiliki
Jika tidak kembali pada Allah

Selesai mengulang lagu dalam hati, perbincangan tadi dibaca lagi. Cuba mengaitkan kembali asal timbulnya perbincangan.

Baru sedar! "Allah bagi ujian tu untuk jadi lebih kuat. Bukan lagi kuat mengeluh"status ni asalnya.
Maksudnya, seseorang itu beriman, dia takkan merungut dengan ujian. Kerana dia tahu ujian itu dari Allah.

Apa kaitannya pula antara iman dan Islam tadi? Kita ni lahir2 je dah Islam. Jadi, kita kenal Islam dulu. Masuk sekolah, baru pemahaman tentang iman tu diserapkan melalui silibus aqidah. Jika seseorang itu kenal iman dulu, maka dia akan lebih yakin dengan takdir Allah, janji Allah. Dia akan rasa indahnya hidup bersama Islam dan mencintai agama itu sendiri. Dengan iman, kecintaan terhadap pencipta itu lebih tinggi. Jadi, kalau dah cinta, pasti ujian tu takkan rasa berat, malah menyuburkan lagi rasa cinta kan. Ok, puzzle selesai.

Sunday, July 7, 2013

Selepas Setahun...

Tit2. Bunyi pesanan masuk.
"Auni dapat mana? Alhamdulillah, saya Terengganu,"seorang teman merisik khabar.

     Hati mula dipagut resah. Lantas, pesanan dihantar semula memberi tahu bahawa aku sedang bekerja. Ketika itu baru petang. Masih berbaki beberapa jam lagi untuk menanti waktu pulang. Takut, bimbang, perasaan jadi serba tak kena. "Ya Allah...janganlah Kau kirimkan berita duka. Izinkan aku melangkah ke menara gading, Ya Allah..,"pohonku dalam hati ketika itu.

     Mentari siang makin pudar warna. Hatiku makin resah. Terasa masa bagai lambat berlalu. "Cekla guna mesej," bicara kakak yang memahami isi hati.

     Tit2. "HA13? kod...rasa macam bukan semenanjung. H? Bukan Y?," monologku sendiri. Melihat kod kursus, hatiku semakin dipalu resah. Ya Allah...harap-haraplah mesej ni salah.

     Sampai saja dirumah malam itu, laptop terus dipasang. Jari laju menekan skroll, mata tangkas mencari kod HA13. Akhirnya, mataku tertumpu di situ.

"Mana tu?" soal kakak tidak sabar.

Lidahku kelu tanpa jawapan. Ada air mula bergenang ditubir mata.

"Dapat tak? soal kakak lagi.

"Alhamdulillah, dapat. tapi Sabah," ucapku dalam suara yang mula berubah.

Kakak diam tanpa bicara. Akhirnya bunyi telefon mematikan suasana sepi itu.

"Angah, macam mana?" suara abah dikampung bertanya.

"Alhamdulillah...Universiti Malaysia Sabah,"jawabku dalam nada yang cuba dikawal.

"Ha? Sabah?" balas abah yang terkejut.

"A'ah,".

     "Angah cakap dengan mak la," abah tidak mampu berkata apa-apa lagi. Yang pasti ketika itu, abah pasti berat membenarkan aku pergi.

************************************************************************************

As salam w.b.t. Alhamdulillah, bersyukur kehadrat Allah kerana masih mengurniakan nikmat dan rezeki yang tidak terhitung kepada hamba-Nya ini. Selawat dan salam ke atas junjungan kekasih Allah, semoga bercambah dan bertambah kecintaan kita kepada baginda.

Cerita di atas merupakan pengalaman setahun lalu ketika keputusan UPU bagi lepasan STPM/ Diploma/ Matrikulasi dan yang setaraf dengannya keluar. Keputusan yang tidak pernah saya duga. Dan keputusan yang pada awalnya mendapat tentangan kedua ibu bapa.

KENAPA?

     Terlalu banyak sebab mengapa saya tidak mahu dan tentangan itu berlaku. Dari setahun yang lalu sehingga ke hari ini, pelbagai cerita negatif tentang negeri Sabah dan penduduk Sabah secara keseluruhannya disogokkan kepada saya. Tambah merunsingkan lagi apabila ada yang bercerita tentang kos penerbangan dan perbelanjaan yang tinggi di sana.
      Saya rasa, tidak perlulah saya ceritakan perkara-perkara negatif tersebut. Saya pasti, ramai yang pernah mendengar perkara tersebut. Namun, satu pegangan yang menguatkan saya ketika itu dan saya pegang sampai sekarang, "Kalau niat kita baik, insyaa Allah...Allah akan bantu,".


SELEPAS SETAHUN

     Alhamdulillah, kini telah setahun saya berada di Sabah secara amnya dan menjadi pelajar UMS secara khususnya. Saya mampu menarik nafas lega kerana Allah mempertemukan saya dengan masyarakat Sabah yang baik-baik secara umumnya, dan rakan-rakan yang terlalu baik secara khususnya sepanjang setahun saya di sana. Sedikit pun perkara negatif yang saya dengar dari tempat saya tidak saya temui di sana. Tiada kata yang lebih indan selain lafaz alhamdulillah dan jazakallahu khair kepada semua sahabat yang saya kenali mahupun mengenali diri saya.


Kepada pelajar-pelajar yang sedang menanti keputusan UPU, jangan gusar. Walau di mana pun anda ditempatkan, ingat ia tetap bumi Allah. Di mana pun anda berada, Allah tetap bersama.
 
Sekian saja coretan rasa yang tak seberapa bagi mengubati hati-hati yang mengerti. Semoga langkah kembara perjuangan ini tidak akan terhenti. Doa saya agar kita semua kekal dibekalkan semangat dalam setiap ujian dan cabaran.
 
Wassalam...

 

Thursday, April 26, 2012

Dilema Lepasan SPM

     Assalamualaikum...Alhamdulillah, segala puji bagi Tuhan sekalian alam yang telah memberi ruang dan peluang buat saya bagi menulis sekali lagi. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, semoga bertambah kecintaan kita kepadanya.

     Sebenarnya, niat untuk menulis tentang perkara ini talah lama hadir, namun kekuatan dan kelapangan sentiasa membatasi niat saya untuk melaksanakannya. Saya tahu, kebanyakan pelajar lepasan SPM kini dalam dilema sama ada ingin melanjutkan pelajaran ke universiti, matrikulasi ataupun tingkatan 6. Saya faham dilema kalian kerana saya pernah mengalami situasi yang sama. Saya bukanlah orang yang sesuai untuk dirujuk, jauh sekali ingin memujuk, namun saya ada sedikit pengalaman untuk dikongsi bersama. Bukan ingin mengajar anda mebuat pilihan, tetapi berkongsi rasa terhadap keputusan dan pilihan yang saya ambil.


DUA PILIHAN

     Beberapa minggu sebelum tarikh pendaftaran tingkatan 6, saya mendapat dua tawaran serentak; tingkatan 6 (pra-Universiti) dan diploma teknologi maklumat (pengaturcaraan) di Politeknik Seberang Perai. Dilema. Itu yang saya alami. Abah dan emak meletakkan seluruh jawapan di bahu saya. Apa saja mereka setuju tanpa bantahan.

     Apa yang saya buat ketika itu? Saya mula membuat timbang-tara. Apa kelebihan dan kelemahan kedua-dua pilihan tersebut. Kalau diikutkan kehendak hati pada usia terebut, saya yakin...kebanyakan pelajar lepasan SPM melonjak-lonjak ingin meninggalkan pekan kecil Bidor ini dan hidup 'bebas' dari keluarga. Saya pun rasa begitu. Namun, sebahagian kecil hati saya mula dipagut kebimbangan akan kehidupan di luar tanpa pengawasan dan kawalan ibu bapa. Saya mula gusar, adakah saya boleh membawa diri? Adakah saya mampu mengawal peribadi? Adakah saya mampu menjaga benteng hati? Semua persoalan tersebut muncul tiba- tiba tanpa dipinta. Saya tidak tahu mengapa, namun itu yang saya rasa.

     Beberapa hari sebelum pendaftaran tingkatan 6, seorang rakan saya menghantar mesej mengajak saya mendaftar sebagai pelajar tingkatan 6. Katanya, kami hanya pergi untuk sementara sahaja, jika tidak sesuai, boleh tinggalkan tingkatan 6. Saya mula berfikir. Saya juga buat perbincangan dengan rakan-rakan, guru dan senior yang melanjutkan pelajar di universiti dan tingkatan 6. Semua pandangan mereka saya ambil kira.

     Kata mereka, buat diploma best. Tak susah sangat. Ada juga yang kata tingkatan 6 juga best, cuma kena pakai baju sekolah. Jadi budak-budak sekolah balik. Semua itu pendapat.


TINGKATAN 6

     Ini pilihan saya. Pilihan paksarela. He3...tiada sesiapa yang memaksa. Cuma saya terpaksa merelakan hati kerana masih belum bersedia untuk tinggal berjauhan dari keluarga. Anak manja?
Itu label mereka buat saya. Saya sememangnya tidak pernah terfikir untuk ke tingkatan 6. Bermati-matian dalam hati saya mengatakan saya tidak mahu lagi memakai uniform sekolah semasa tingkatan 5 dulu.

     Antara kelebihan tingkatan 6, kita tidak perlu membuat pinjaman kerana kosnya hanya yuran sekolah. Memang jimat bajet sebab tinggal dengan keluarga. Tinggal dengan keluarga perkara yang paling saya suka. Sebab? Semua masalah, saya ada tempat bercerita, mengadu atau meminta pendapat. Siapa lagi kalau bukan dengan emak.


SUSAH TAK?

     Ramai yang bercerita, tingakatn 6 ni susah. Ramai yang takut tak boleh bawa. Tapi saya nak tanya, diploma tu senang ke? Matrikulasi tu mudah ke? Kalau ambil diploma tu senang, saya rasa tak ada orang yang kena repeat paper, repeat semester dan sebagainya. Soalnya sekarang, hati kita. Mahu atau tidak.

     Kalau mahukan kejayaan, usaha la. Walau siapa pun kita, di mana kita belajar, semua perlukan usaha. Usaha belajar untuk memahami dan mengingati. Seawal tingkatan 6 rendah saya dah disogok dan ditakutkan dengan persoalan 'kalau result aku tak elok nanti, u mana yang nak terima aku?', 'kalau result aku tak bagus nanti, aku nak buat ape?'. itu soalan yang sering diutarakan oleh cikgu-cikgu tingkatan 6 saya seawal 6 rendah.

     Sejujurnya saya kata memang susah. Seringkali juga saya tanya pada diri, kenapa ambil jalan ini. Kenapa tak ambil jalan mudah. Namun, berpatah balik bukan cara saya. Bagi saya, apa yang saya sudah mulakan, saya harus lakukan sampai akhir. Dan saya tanam dalam hati bahawa saya mahukan pengakhiran yang memuaskan. Hati saya selalu juga memarahi diri saya, " kamu yang pilih. Buat apa tanya lagi. Teruskanlah. Kalau susah, belajar. Kalau tak tahu, usaha. Tak ada orang mati sebab belajar".


KECEWA ATAU PUTUS ASA

     Saya pernah mendapat keutusan yang tidak memuaskan semasa di tingkatan 6 atas. Saya dimarah. Hati kecil saya menangis. Otak saya letih. Jiwa saya remuk. Badan saya rasa tak berdaya. Saya mula bertanya, 'tak cukupkah lagi usaha?, Apa yang perlu aku buat? Apa yang aku tidak buat lagi?'. Berhari-hari saya melayan perasaan. Merenung kesilapan. Meminta belas kasihan Tuhan.

     Akhirnya, hati saya terpujuk. Kata adik saya, 'kita boleh kecewa, tapi jangan putus asa'. Saya teringat kembali firman Allah yang pernah saya catit dahulu. "Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah, melainkan kaum yang kafir," surah Yusuf ayat 87. Ya, saya Islam. Saya tidak harus berputus asa. Bukan saya seorang yang gagal. Rakan lain pun sama. Ini mungkin hanya ujian. Allah mungkin suruh saya usaha lebih sikit. Mungkin juga Allah bagi saya merasa kegagalan supaya saya tidak bongkak dan riak atau lupa diri untuk belajar. Biar saya gagal sekarang. Jangan saya gagal dalam peperiksaan sebenar.


DEMAM PEPERIKSAAN

     Ramai yang berkata tentangnya, tapi saya pasti tidak semua dapat merasa. Saya akan dilanda demam sehari sebelum peperiksaan. Walaupun ujian bulanan. Tidak boleh tidur perkara biasa. Selang satu jam selepas lena, pasti saya akan terjaga. Teringat topik yang susah. Teringat formula yang saya tak hafal. Teringat bab yang belum saya baca. Dan setiap kali terjaga, saya akan membaca.

     Itu saya. Fobia rakan saya terhadap peperiksaan lebih teruk. Malam sebelum peperiksaan, dia pasti sukar tidur. Tambahan waktu kertas ekonomi. Subjek killer bagi kelas kami. Dia akan ulangkaji sehingga pagi. Tidurnya hanya 2-3 jam. Dan setiap kali habis menjawab kertas tersebut, dia akan meluru ke bilik air. Berlari dari tingkat 4(kelas kami) je tingkat 1 (tandas). Dia buat apa? Dia muntah. Punca? Kerana stress dan tidak cukup rehat. Tekanan bukan?


NIKMAT DAN SEMANGAT

     Fobia itu kekuatan kami. Ketakutan kepada kegagalan itu semangat kami. Jika tidak, kami tidak akan berusaha belajar. Jika tidak kami akan enjoy dan honeymoon. Jika tidak, kami akan buat seperti tiada apa-apa yang berlaku dengan alasan nak exam tidak boleh tertekan.

     Atas tekanan-tekanan itu, kami usaha. Apabila berada di dewan peperiksaan, kami hanya mampu berdoa dan apabila tiba masa menanti keputusan peperiksaan, kami tawakal. Bukan usaha sedikit, kemudian doa mengaharap kejayaan membukit dan akhirnya tawakal. Itu salah.

     Hikmahnya, bila keputusan pepriksaan keluar. Kami mampu tersenyum lebar. Saya tahu, keputusan kami biasa-biasa saja. Saya juga tahu, keputusan kami tidak sehebat mana. Tapi saya puas kerana segala usaha, penat lelah saya berbalas.

     Ketika itu saya akui. Kesakitan itu nikmat dan tekanan serta kegagalan itu semangat. Kesakitan itu memberi kekuatan kepada saya untuk belajar. Tekanan dan kegagalan itu pula menjadi semangat untuk saya terus berusaha ketika penyakit malas saya datang menjelma.

  

Dari saya

     Kepada pelajar-pelajar lepasan SPM, buatlah keputusan sebaik-baiknya. Jangan ikut kata hati, jauh sakali kata nafsu. Fikirlah dengan baik. Berbincang dengan ibu bapa, rakan-rakan dan guru yang anda rapat. Pertimbangkan pendapat mereka. Ingat, jangan sesekali menyesal dengan keputusan yang anda buat. Jika keputusan sudah diambil, maka teruskanlah. Usahakan selagi mampu. Berdoa supaya diberi kekuatan. Jangan putus asa dengan ujian. Jangan juga putus semangat dengan sindiran atau kejian. Memang sukar. Tapi ingatlah, Allah sudah berjanji...setiap usaha, ada ganjarannya. Setiap sabar, ada hikmahnya.Lakukan kerana Allah, insyaallah jalan kita akan menjadi mudah. Mudah bukan bermaksud kita senang mendapatkan sesuatu perkara, tetapi hati kita cukup kuat dan mampu berhadapan dengan ujian yang menimpa.


      Maaf andai tulisan saya ini tidak menyenangkan hati. Saya tidak berniat membangga diri, jauh sekali menyatakan apa-apa kelebihan atau kehebatan. Itu semua milik Allah. Saya cuma ingin berkongsi pengalaman tentang apa yang saya pernah lalui dan alami. Moga tulisan saya yang tidak seberapa ini mampu membantu hati-hati yang buntu dalam membuat keputusan. 

Sekian, wassalam...

   

Tuesday, April 10, 2012

LELAKI


Dulu,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya mendongak megah,
Lelaki kami Asadullah, Saifullah,
Tokoh ramai tak terkira,
Kini,
Bila disebut lelaki,
Tokoh kami sedikit sekali,
Ramainya, boneka Yahudi.

Dulu,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya tenang dihati,
Lelaki kami menjaga, melindungi,
Kini,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya mahu cabut lari,
Lelaki khianat, perogol bersiri.

Dulu,
Bila seorang wanita teraniaya,
Sepasukan kuda putih membela,
Al-Mu'tasim kebanggaan wanita,
Kini,
Ribuan wanita suci dipenjara,
Fatimah diperkosa minta dibela,
Lelaki tunduk tak bertenaga.

Dulu,
Bila wanita di bawah jagaannya,
Lelaki memagari sehabis daya,
Tiada siapa berani menggoda,
Kini,
Bila wanita di bawah jagaannya,
Lelaki tak kisah auratnya terbuka,
Wanitanya dibiar bebas, binasa.

Dulu,
Lelaki menggadai harta dan nyawa,
Untuk mengangkat kemuliaan agama,
Kini,
Lelaki menggadai ketinggian agama,
Demi nafsu, dunia dan seisinya.

Dulu,
Lelaki bermatian mencipta sejarah,
Kental berjihad, tekun berdakwah,
Kini,
Lelaki hanya menyanjungi sejarah,
Diri bermalasan, tenaga tak dikerah.

Dulu,
Lelaki memperjuangkan deen dan ummah,
Al-Farouq, Zunnurain mati terbunuh,
Kini,
Lelaki memperjuangkan diri dan kroninya,
Hingga sanggup membunuh.

Dulu,
Lelaki bersatu menghadapi musuh,
Angkatannya kuat dan teguh,
Kini,
Lelakinya berpuak dan berpecah,
Sesama sendiri saling bertingkah.

Kembalikanlah lelakiku,
Pada kelelakianmu,
Kami rindukan lelaki dahulu,
Acuan Madrasah Rasul.

Petikan novel Syabab Musafir Kasih (m/s 202-204)
karya Fatimah Syarha

Assalamualaikum....alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana atas izin-Nya saya masih mampu menitip kata buat perkongsian kita bersama. Selawat dan salam buat Nabi junjungan semoga hati2 kita terus belajar merindukannya.
Kenapa ya saya tiba2 bercerita mengenai lelaki? Kerana lelaki itu ketua. Dia juga imam. Sebelum memimpin, diri sendiri terlebih dahulu perlu belajar memimpin. Sebelum membetulkan makmum, diri sendiri dulu perlu diperbetul. Sebelum meluruskan rusuk yang bengkok, diri sendiri dulu perlu tahu jalan yang lurus.
Bukan mudah, tapi bukan mustahil. Semuanya perlukan ilmu. Perkara itu memakan masa dan perlukan usaha. Sedarilah wahai pemuda, bahawa tangunggjawab anda bukannya sedikit. Memimpin pemudi akhir zaman yang penuh fitnah dan cabaran ini amat memeritkan. Kerana itu perlu ada kesabaran, kekuatan, ilmu dan pegangan.
Sekian saja coretan saya. Harap2 coretan ringkas ini mampu mengusik hati yang mengerti. Besar harapan para pemudi untuk melihat para syabab (pemuda) kami bangun. Biarpun tidak sehebat tokoh masa silam, cukuplah sekadar tidak lagi mengulangi masa silam. Wassaalam...

Wednesday, February 8, 2012

Pilihan Hati


A: B, ape ciri2 calon suami ko?


B: Aku terima je pilihan mak aku.


C: Ha? Walaupun orang tua?


B: Eh, orang tua lagi aku suka. Tapi aku nak orang tua tu kaya, pastu tak ade anak.


A: Ko sanggup ke? Kalau dia sakit macam mana?


B: Eh...lagi best. Nak2 kalau dia sakit kronik macam sakit jantung ke.


C: Ish...tak susah nak jaga ke?


B: Jaga sementara je. Nak senang, hari2 buat surprise untuk dia.


C: Ha3...aku setuju. Bila mati harta terus dapat kat kita kan sebab dia tak ada anak.


A: Ye la tu. Lepas dia mati,peguam dia pun datang jumpa ko. Pastu dia kata "Puan, semua


harta kepunyaan arwah suami puan telah diwakafkan kepada jabatan kebajikan dan


rumah anak2 yatim,". Masa tu baru tau.


Akhirnya, ketiga-tiga meletuskan tawa atas cerita yang sengaja direka-reka.






Aku masih ingat lagi perbualan itu. Aku hanya jadi pendengar dan menokok tambah sedikit cerita sekadar menceriakan suasana. Dalam gurauan itu, terselit juga pengajarannya. Jangan dikejar harta, takut diri yang merana. Itu implikasinya.





Apabila bercerita soal pilihan hati, pasti ramai yang bertanya. Baik ciri2 dari segi watak, mahupun perwatakan.





Ada juga yang bertanya, " Kita kena pilih pasangan yang baik2 kan...Habis tu, kena cari ustaz atau ustazah la?".


"Ustaz dengan ustazah je ke yang baik? Cikgu, polis, doktor, jurutera, tak baik?" tanyaku pula.


"Bukan macam tu...maksud aku baik dari segi agamanya," dia membalas lagi.


" Mana lagi baik? Orang yang belajar agama, tapi tak amalkan, atau orang yang beramal dengan ilmu yang dia ada? Walaupun ilmu dia tak banyak, tapi dia tetap amalkan dan dia sentiasa mencari ilmu," soalannya kubalas dengan soalan pula.


Akhirnya dia mengangguk faham.






Ramai dalam kalangan kita yang keliru antara yang baik, atau nampak baik. Apabila diperkatakan tentang golongan yang baik agamanya, maka sudah pasti bayangan ustaz dan ustazah serta pelajar sekolah agama melintas diminda. Tidak dinafikan mereka golongan yang banyak ilmu agamanya, namun tidak bermakna golongan yang lain itu tidak layak diletakkan sebaris golongan itu. Hakikatnya, kita manusia. Kita tidak dapat menjamin bahawa iman yang kita ada hari ini, akan kekal selamanya. Mungkin insan yang kita lihat hari ini sangat baik, namun esok bertukar menjadi insan yang sangat jelik. Begitu juga sebaliknya. Jangan menilai seseorang kerana siapa dia, atau pekerjaannya, atau kisah silamnya kerana kita tidak layak menghukum.


Apa yang boleh saya katakan ketika ini, belajarlah menjadi orang yang lebih baik, dari segi ilmu agama, atau apa-apa sahaja. Sesungguhnya ilmu tanpa amal itu sesuatu yang sia-sia. Paling penting, kita perlu menjadi insan yang sedia dibimbing dan membimbing.


Sekian saja coretan saya buat kali ini. Sebarang perkara yang saya titipkan di sini hanyalah sekadar wadah untuk menginngatkan insan yang bergelar "aku" kerana hati ini mudah saja berubah-ubah. Moga-moga wadah ini mampu menarik hati mengingati Allah andai suatu hari nanti tersalah langkah. Buat hati-hati yang mengerti, moga kamu sentiasa dalam perlindungan Ilahi.

Wassalam...