Saudara seagama

Abdullah bin Umar r.a berkata , Rasulullah bersabda :



Seseorang muslim dengan muslim yang lain adalah bersaudara . Tidak boleh menganiaya dan menundukkannya . Barang siapa yang melaksanakan hajat seorang muslim , maka Allah akan melaksanakan hajatnya . Dan sesiapa yang melepaskan kesulitan seorang muslim , maka Allah akan melepaskan kesulitannya di hari kiamat dan barang sesiapa yang menutup aib seorang muslim , maka Allah akan menutup aibnya dihari kiamat .

Tuesday, December 14, 2010

Ucapan Yang Istimewa

Mata yang sayu itu kutenung dalam. Walaupun nampak lemah pada zahirnya, namun semangat yang kental itu masih menyala. Aku kagum dengan bapaku. Keras di luar, tetapi lembut di dalam. Tegas ditempat kerja, namun sangat pengasih orangnya.
" Persiapan perkahwinan kamu sudah siap?" soalan ayah mematikan lamunanku.
" Sudah hampir siap, ayah. Cuma tinggal 20% saja ," jawabku ringkas. Aku duduk di sisi ayah. Abangku juga ada di situ.
Ayah tersenyum memandang aku dan pandangannya beralih ke arah abang pula.
" Nak tahu macam mana cara menjadi yang istimewa dihati pasangan kita?" ayah mula memancing minat untuk berbual disamping menurunkan ilmunya.
Aku tersenyum seraya mengangguk.
" Ayah kenal ibu kamu semasa kami belajar di universiti. Ibu kamu orang biasa, berperwatakan biasa dan segala-galanya biasa. Dia tidak pernah menjadi bahan mulut puji atau keji. Ayah memang tak kenal sangat ibu kamu, tapi ayah sangat ingat setiap detik saat kami bertemu ," ujar ayah memulakan bicara. Ayah sengaja berhenti di situ.
" Pasti ada sesuatu yang menarik tentang arwah ibu. Jika tidak, macam mana ayah boleh terpikat dengan ibu," sampuk kakak iparku pula yang baru masuk ke dalam bilik ayah bersama anak-anaknya.
Ayah terus tersenyum, lantas menyambung ceritanya, " Kali pertama ayah jumpa ibu kamu semasa diperpustakaan. Ayah nak cari buku masa tu. Ibu kamu adalah pustakawan di situ. Hampir setengah jam ayah pusing-pusing di rak yang sama tapi ayah masih tak jumpa buku yang nak dicari. "
" Ayah tak minta tolong kat ibu? Emm...maksud Ina pustakawan kat situ? aku pantas mencelah.
" Itulah. Orang lelaki ni kuat egonya. Kononnya boleh cari sendiri. Akhirnya ibu kamu datang. Soalan pertama dia , yang tak pernah ayah lupa sampai sekarang, ' Boleh saya bantu?'.
Ayah tersenyum lagi sambil memandang kami, anak-anak, menantu dan cucu-cucunya.
" Kali kedua ayah jumpa ibu kamu, semasa hari sukan di universiti. Ayah dan ibu sama-sama jadi sukarelawan untuk program tu. Ayah ditugaskan bahagian air minuman. Biasalah, pelajar lelaki kalau diberi tugas selalunya sambil lewa. Tambahan pula, bila dah duduk berkumpul ramai-ramai. Ibu kamu datang masa tu. Nak tahu apa dia kata?"
Kami mengangguk penuh minat.
" Boleh tolong tambah air ni? Air ni dah kurang,".
" Ayah terus bangun. Tergamam juga kami dibuatnya. Lepas siap bancuh air tu, ibu kamu ucapkan terima kasih. Itulah istimewanya ibu kamu. Kalau orang pandang dia dengan mata, orang akan kata dia gadis biasa. Tapi kalau orang lihat dia dengan mata hati, orang kata dia gadis istimewa," ayah terdiam sebentar sambil aku pula cuba menghadam mesej cerita yang disampaikan oleh ayah.
" Orang lelaki ni, memang susah nak tolong orang perempuan, tapi kalau kena caranya, seikhlas hati dia akan buat. Kerja yang berat terasa ringan. Setiap permintaan yang lahir dari bibir bukan lagi dianggap arahan, tetapi pujukan,"
Aku tertunduk. " Patutlah ibu sangat istimewa buat ayah. Walaupun telah hampir 15 tahun ibu meninggalkan kami, ayah masih tidak mahu berkahwin lagi hingga ke saat ini,"
" Itulah istimewanya ucapan tolong atau bantu dan terima kasih. Masih meminta tolong walaupun kita berdaya. Masih berterima kasih walaupun itu memang kewajipan dia. Kerana ucapan yang istimewa itu akan menjadikan pengucapnya begitu istimewa di hati pasangannya. Memang bukan mudah kalau tak biasa, tapi tak salah kalau mencuba. Mula-mula cuba, lama-lama terbiasa," ucap ayah seakan mengerti persoalan yang bermain difikiranku. Aku yakin nasihat ini juga pernah diberikan kepada abangku sebelum dia berumah tangga dulu dan kini, giliran aku.
Malam itu, sebelum tidur, aku teringat saat arwah ibu masih bersama kami. Dialog yang sering diucapkannya. Saat ayah ingin ke kedai ,"Abang, boleh tolong belikan barang dapur? ". Saat ibu memasak di dapur, " Abang, boleh tolong tengokkan anak?". Dan dialog yang tak pernah kulupa dan kini menjadi kebiasaan abang dan kakak iparku, " Terima kasih, bang. Sebab itulah saya sayang abang,".
Aku akan sentiasa ingat pesan ayah, " Hargai pasangan kita selagi dia ada bersama. Ucapkan ucapan yang penuh bermakna selagi dia boleh mendengar. Tunjukkan kasih kita selagi dia boleh melihat. Sentiasa mendengar kisah suka dukanya selagi dia mampu berbicara. Barulah kita rasa perkahwinan ni sungguh bermakna. Kalau dia dah tiada, panjatkan doa untuknya semoga cinta kita kekal subur selamanya,".

No comments:

Post a Comment