"Auni dapat mana? Alhamdulillah, saya Terengganu,"seorang teman merisik khabar.
Hati mula dipagut resah. Lantas, pesanan dihantar semula memberi tahu bahawa aku sedang bekerja. Ketika itu baru petang. Masih berbaki beberapa jam lagi untuk menanti waktu pulang. Takut, bimbang, perasaan jadi serba tak kena. "Ya Allah...janganlah Kau kirimkan berita duka. Izinkan aku melangkah ke menara gading, Ya Allah..,"pohonku dalam hati ketika itu.
Mentari siang makin pudar warna. Hatiku makin resah. Terasa masa bagai lambat berlalu. "Cekla guna mesej," bicara kakak yang memahami isi hati.
Tit2. "HA13? kod...rasa macam bukan semenanjung. H? Bukan Y?," monologku sendiri. Melihat kod kursus, hatiku semakin dipalu resah. Ya Allah...harap-haraplah mesej ni salah.
Sampai saja dirumah malam itu, laptop terus dipasang. Jari laju menekan skroll, mata tangkas mencari kod HA13. Akhirnya, mataku tertumpu di situ.
"Mana tu?" soal kakak tidak sabar.
Lidahku kelu tanpa jawapan. Ada air mula bergenang ditubir mata.
"Dapat tak? soal kakak lagi.
"Alhamdulillah, dapat. tapi Sabah," ucapku dalam suara yang mula berubah.
Kakak diam tanpa bicara. Akhirnya bunyi telefon mematikan suasana sepi itu.
"Angah, macam mana?" suara abah dikampung bertanya.
"Alhamdulillah...Universiti Malaysia Sabah,"jawabku dalam nada yang cuba dikawal.
"Ha? Sabah?" balas abah yang terkejut.
"A'ah,".
"Angah cakap dengan mak la," abah tidak mampu berkata apa-apa lagi. Yang pasti ketika itu, abah pasti berat membenarkan aku pergi.
************************************************************************************
As salam w.b.t. Alhamdulillah, bersyukur kehadrat Allah kerana masih mengurniakan nikmat dan rezeki yang tidak terhitung kepada hamba-Nya ini. Selawat dan salam ke atas junjungan kekasih Allah, semoga bercambah dan bertambah kecintaan kita kepada baginda.
Cerita di atas merupakan pengalaman setahun lalu ketika keputusan UPU bagi lepasan STPM/ Diploma/ Matrikulasi dan yang setaraf dengannya keluar. Keputusan yang tidak pernah saya duga. Dan keputusan yang pada awalnya mendapat tentangan kedua ibu bapa.
KENAPA?
Terlalu banyak sebab mengapa saya tidak mahu dan tentangan itu berlaku. Dari setahun yang lalu sehingga ke hari ini, pelbagai cerita negatif tentang negeri Sabah dan penduduk Sabah secara keseluruhannya disogokkan kepada saya. Tambah merunsingkan lagi apabila ada yang bercerita tentang kos penerbangan dan perbelanjaan yang tinggi di sana.
Saya rasa, tidak perlulah saya ceritakan perkara-perkara negatif tersebut. Saya pasti, ramai yang pernah mendengar perkara tersebut. Namun, satu pegangan yang menguatkan saya ketika itu dan saya pegang sampai sekarang, "Kalau niat kita baik, insyaa Allah...Allah akan bantu,".
SELEPAS SETAHUN
Alhamdulillah, kini telah setahun saya berada di Sabah secara amnya dan menjadi pelajar UMS secara khususnya. Saya mampu menarik nafas lega kerana Allah mempertemukan saya dengan masyarakat Sabah yang baik-baik secara umumnya, dan rakan-rakan yang terlalu baik secara khususnya sepanjang setahun saya di sana. Sedikit pun perkara negatif yang saya dengar dari tempat saya tidak saya temui di sana. Tiada kata yang lebih indan selain lafaz alhamdulillah dan jazakallahu khair kepada semua sahabat yang saya kenali mahupun mengenali diri saya.
Kepada pelajar-pelajar yang sedang menanti keputusan UPU, jangan gusar. Walau di mana pun anda ditempatkan, ingat ia tetap bumi Allah. Di mana pun anda berada, Allah tetap bersama.
Sekian saja coretan rasa yang tak seberapa bagi mengubati hati-hati yang mengerti. Semoga langkah kembara perjuangan ini tidak akan terhenti. Doa saya agar kita semua kekal dibekalkan semangat dalam setiap ujian dan cabaran.
Wassalam...