Saudara seagama

Abdullah bin Umar r.a berkata , Rasulullah bersabda :



Seseorang muslim dengan muslim yang lain adalah bersaudara . Tidak boleh menganiaya dan menundukkannya . Barang siapa yang melaksanakan hajat seorang muslim , maka Allah akan melaksanakan hajatnya . Dan sesiapa yang melepaskan kesulitan seorang muslim , maka Allah akan melepaskan kesulitannya di hari kiamat dan barang sesiapa yang menutup aib seorang muslim , maka Allah akan menutup aibnya dihari kiamat .

Thursday, April 26, 2012

Dilema Lepasan SPM

     Assalamualaikum...Alhamdulillah, segala puji bagi Tuhan sekalian alam yang telah memberi ruang dan peluang buat saya bagi menulis sekali lagi. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, semoga bertambah kecintaan kita kepadanya.

     Sebenarnya, niat untuk menulis tentang perkara ini talah lama hadir, namun kekuatan dan kelapangan sentiasa membatasi niat saya untuk melaksanakannya. Saya tahu, kebanyakan pelajar lepasan SPM kini dalam dilema sama ada ingin melanjutkan pelajaran ke universiti, matrikulasi ataupun tingkatan 6. Saya faham dilema kalian kerana saya pernah mengalami situasi yang sama. Saya bukanlah orang yang sesuai untuk dirujuk, jauh sekali ingin memujuk, namun saya ada sedikit pengalaman untuk dikongsi bersama. Bukan ingin mengajar anda mebuat pilihan, tetapi berkongsi rasa terhadap keputusan dan pilihan yang saya ambil.


DUA PILIHAN

     Beberapa minggu sebelum tarikh pendaftaran tingkatan 6, saya mendapat dua tawaran serentak; tingkatan 6 (pra-Universiti) dan diploma teknologi maklumat (pengaturcaraan) di Politeknik Seberang Perai. Dilema. Itu yang saya alami. Abah dan emak meletakkan seluruh jawapan di bahu saya. Apa saja mereka setuju tanpa bantahan.

     Apa yang saya buat ketika itu? Saya mula membuat timbang-tara. Apa kelebihan dan kelemahan kedua-dua pilihan tersebut. Kalau diikutkan kehendak hati pada usia terebut, saya yakin...kebanyakan pelajar lepasan SPM melonjak-lonjak ingin meninggalkan pekan kecil Bidor ini dan hidup 'bebas' dari keluarga. Saya pun rasa begitu. Namun, sebahagian kecil hati saya mula dipagut kebimbangan akan kehidupan di luar tanpa pengawasan dan kawalan ibu bapa. Saya mula gusar, adakah saya boleh membawa diri? Adakah saya mampu mengawal peribadi? Adakah saya mampu menjaga benteng hati? Semua persoalan tersebut muncul tiba- tiba tanpa dipinta. Saya tidak tahu mengapa, namun itu yang saya rasa.

     Beberapa hari sebelum pendaftaran tingkatan 6, seorang rakan saya menghantar mesej mengajak saya mendaftar sebagai pelajar tingkatan 6. Katanya, kami hanya pergi untuk sementara sahaja, jika tidak sesuai, boleh tinggalkan tingkatan 6. Saya mula berfikir. Saya juga buat perbincangan dengan rakan-rakan, guru dan senior yang melanjutkan pelajar di universiti dan tingkatan 6. Semua pandangan mereka saya ambil kira.

     Kata mereka, buat diploma best. Tak susah sangat. Ada juga yang kata tingkatan 6 juga best, cuma kena pakai baju sekolah. Jadi budak-budak sekolah balik. Semua itu pendapat.


TINGKATAN 6

     Ini pilihan saya. Pilihan paksarela. He3...tiada sesiapa yang memaksa. Cuma saya terpaksa merelakan hati kerana masih belum bersedia untuk tinggal berjauhan dari keluarga. Anak manja?
Itu label mereka buat saya. Saya sememangnya tidak pernah terfikir untuk ke tingkatan 6. Bermati-matian dalam hati saya mengatakan saya tidak mahu lagi memakai uniform sekolah semasa tingkatan 5 dulu.

     Antara kelebihan tingkatan 6, kita tidak perlu membuat pinjaman kerana kosnya hanya yuran sekolah. Memang jimat bajet sebab tinggal dengan keluarga. Tinggal dengan keluarga perkara yang paling saya suka. Sebab? Semua masalah, saya ada tempat bercerita, mengadu atau meminta pendapat. Siapa lagi kalau bukan dengan emak.


SUSAH TAK?

     Ramai yang bercerita, tingakatn 6 ni susah. Ramai yang takut tak boleh bawa. Tapi saya nak tanya, diploma tu senang ke? Matrikulasi tu mudah ke? Kalau ambil diploma tu senang, saya rasa tak ada orang yang kena repeat paper, repeat semester dan sebagainya. Soalnya sekarang, hati kita. Mahu atau tidak.

     Kalau mahukan kejayaan, usaha la. Walau siapa pun kita, di mana kita belajar, semua perlukan usaha. Usaha belajar untuk memahami dan mengingati. Seawal tingkatan 6 rendah saya dah disogok dan ditakutkan dengan persoalan 'kalau result aku tak elok nanti, u mana yang nak terima aku?', 'kalau result aku tak bagus nanti, aku nak buat ape?'. itu soalan yang sering diutarakan oleh cikgu-cikgu tingkatan 6 saya seawal 6 rendah.

     Sejujurnya saya kata memang susah. Seringkali juga saya tanya pada diri, kenapa ambil jalan ini. Kenapa tak ambil jalan mudah. Namun, berpatah balik bukan cara saya. Bagi saya, apa yang saya sudah mulakan, saya harus lakukan sampai akhir. Dan saya tanam dalam hati bahawa saya mahukan pengakhiran yang memuaskan. Hati saya selalu juga memarahi diri saya, " kamu yang pilih. Buat apa tanya lagi. Teruskanlah. Kalau susah, belajar. Kalau tak tahu, usaha. Tak ada orang mati sebab belajar".


KECEWA ATAU PUTUS ASA

     Saya pernah mendapat keutusan yang tidak memuaskan semasa di tingkatan 6 atas. Saya dimarah. Hati kecil saya menangis. Otak saya letih. Jiwa saya remuk. Badan saya rasa tak berdaya. Saya mula bertanya, 'tak cukupkah lagi usaha?, Apa yang perlu aku buat? Apa yang aku tidak buat lagi?'. Berhari-hari saya melayan perasaan. Merenung kesilapan. Meminta belas kasihan Tuhan.

     Akhirnya, hati saya terpujuk. Kata adik saya, 'kita boleh kecewa, tapi jangan putus asa'. Saya teringat kembali firman Allah yang pernah saya catit dahulu. "Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah, melainkan kaum yang kafir," surah Yusuf ayat 87. Ya, saya Islam. Saya tidak harus berputus asa. Bukan saya seorang yang gagal. Rakan lain pun sama. Ini mungkin hanya ujian. Allah mungkin suruh saya usaha lebih sikit. Mungkin juga Allah bagi saya merasa kegagalan supaya saya tidak bongkak dan riak atau lupa diri untuk belajar. Biar saya gagal sekarang. Jangan saya gagal dalam peperiksaan sebenar.


DEMAM PEPERIKSAAN

     Ramai yang berkata tentangnya, tapi saya pasti tidak semua dapat merasa. Saya akan dilanda demam sehari sebelum peperiksaan. Walaupun ujian bulanan. Tidak boleh tidur perkara biasa. Selang satu jam selepas lena, pasti saya akan terjaga. Teringat topik yang susah. Teringat formula yang saya tak hafal. Teringat bab yang belum saya baca. Dan setiap kali terjaga, saya akan membaca.

     Itu saya. Fobia rakan saya terhadap peperiksaan lebih teruk. Malam sebelum peperiksaan, dia pasti sukar tidur. Tambahan waktu kertas ekonomi. Subjek killer bagi kelas kami. Dia akan ulangkaji sehingga pagi. Tidurnya hanya 2-3 jam. Dan setiap kali habis menjawab kertas tersebut, dia akan meluru ke bilik air. Berlari dari tingkat 4(kelas kami) je tingkat 1 (tandas). Dia buat apa? Dia muntah. Punca? Kerana stress dan tidak cukup rehat. Tekanan bukan?


NIKMAT DAN SEMANGAT

     Fobia itu kekuatan kami. Ketakutan kepada kegagalan itu semangat kami. Jika tidak, kami tidak akan berusaha belajar. Jika tidak kami akan enjoy dan honeymoon. Jika tidak, kami akan buat seperti tiada apa-apa yang berlaku dengan alasan nak exam tidak boleh tertekan.

     Atas tekanan-tekanan itu, kami usaha. Apabila berada di dewan peperiksaan, kami hanya mampu berdoa dan apabila tiba masa menanti keputusan peperiksaan, kami tawakal. Bukan usaha sedikit, kemudian doa mengaharap kejayaan membukit dan akhirnya tawakal. Itu salah.

     Hikmahnya, bila keputusan pepriksaan keluar. Kami mampu tersenyum lebar. Saya tahu, keputusan kami biasa-biasa saja. Saya juga tahu, keputusan kami tidak sehebat mana. Tapi saya puas kerana segala usaha, penat lelah saya berbalas.

     Ketika itu saya akui. Kesakitan itu nikmat dan tekanan serta kegagalan itu semangat. Kesakitan itu memberi kekuatan kepada saya untuk belajar. Tekanan dan kegagalan itu pula menjadi semangat untuk saya terus berusaha ketika penyakit malas saya datang menjelma.

  

Dari saya

     Kepada pelajar-pelajar lepasan SPM, buatlah keputusan sebaik-baiknya. Jangan ikut kata hati, jauh sakali kata nafsu. Fikirlah dengan baik. Berbincang dengan ibu bapa, rakan-rakan dan guru yang anda rapat. Pertimbangkan pendapat mereka. Ingat, jangan sesekali menyesal dengan keputusan yang anda buat. Jika keputusan sudah diambil, maka teruskanlah. Usahakan selagi mampu. Berdoa supaya diberi kekuatan. Jangan putus asa dengan ujian. Jangan juga putus semangat dengan sindiran atau kejian. Memang sukar. Tapi ingatlah, Allah sudah berjanji...setiap usaha, ada ganjarannya. Setiap sabar, ada hikmahnya.Lakukan kerana Allah, insyaallah jalan kita akan menjadi mudah. Mudah bukan bermaksud kita senang mendapatkan sesuatu perkara, tetapi hati kita cukup kuat dan mampu berhadapan dengan ujian yang menimpa.


      Maaf andai tulisan saya ini tidak menyenangkan hati. Saya tidak berniat membangga diri, jauh sekali menyatakan apa-apa kelebihan atau kehebatan. Itu semua milik Allah. Saya cuma ingin berkongsi pengalaman tentang apa yang saya pernah lalui dan alami. Moga tulisan saya yang tidak seberapa ini mampu membantu hati-hati yang buntu dalam membuat keputusan. 

Sekian, wassalam...

   

Tuesday, April 10, 2012

LELAKI


Dulu,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya mendongak megah,
Lelaki kami Asadullah, Saifullah,
Tokoh ramai tak terkira,
Kini,
Bila disebut lelaki,
Tokoh kami sedikit sekali,
Ramainya, boneka Yahudi.

Dulu,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya tenang dihati,
Lelaki kami menjaga, melindungi,
Kini,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya mahu cabut lari,
Lelaki khianat, perogol bersiri.

Dulu,
Bila seorang wanita teraniaya,
Sepasukan kuda putih membela,
Al-Mu'tasim kebanggaan wanita,
Kini,
Ribuan wanita suci dipenjara,
Fatimah diperkosa minta dibela,
Lelaki tunduk tak bertenaga.

Dulu,
Bila wanita di bawah jagaannya,
Lelaki memagari sehabis daya,
Tiada siapa berani menggoda,
Kini,
Bila wanita di bawah jagaannya,
Lelaki tak kisah auratnya terbuka,
Wanitanya dibiar bebas, binasa.

Dulu,
Lelaki menggadai harta dan nyawa,
Untuk mengangkat kemuliaan agama,
Kini,
Lelaki menggadai ketinggian agama,
Demi nafsu, dunia dan seisinya.

Dulu,
Lelaki bermatian mencipta sejarah,
Kental berjihad, tekun berdakwah,
Kini,
Lelaki hanya menyanjungi sejarah,
Diri bermalasan, tenaga tak dikerah.

Dulu,
Lelaki memperjuangkan deen dan ummah,
Al-Farouq, Zunnurain mati terbunuh,
Kini,
Lelaki memperjuangkan diri dan kroninya,
Hingga sanggup membunuh.

Dulu,
Lelaki bersatu menghadapi musuh,
Angkatannya kuat dan teguh,
Kini,
Lelakinya berpuak dan berpecah,
Sesama sendiri saling bertingkah.

Kembalikanlah lelakiku,
Pada kelelakianmu,
Kami rindukan lelaki dahulu,
Acuan Madrasah Rasul.

Petikan novel Syabab Musafir Kasih (m/s 202-204)
karya Fatimah Syarha

Assalamualaikum....alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana atas izin-Nya saya masih mampu menitip kata buat perkongsian kita bersama. Selawat dan salam buat Nabi junjungan semoga hati2 kita terus belajar merindukannya.
Kenapa ya saya tiba2 bercerita mengenai lelaki? Kerana lelaki itu ketua. Dia juga imam. Sebelum memimpin, diri sendiri terlebih dahulu perlu belajar memimpin. Sebelum membetulkan makmum, diri sendiri dulu perlu diperbetul. Sebelum meluruskan rusuk yang bengkok, diri sendiri dulu perlu tahu jalan yang lurus.
Bukan mudah, tapi bukan mustahil. Semuanya perlukan ilmu. Perkara itu memakan masa dan perlukan usaha. Sedarilah wahai pemuda, bahawa tangunggjawab anda bukannya sedikit. Memimpin pemudi akhir zaman yang penuh fitnah dan cabaran ini amat memeritkan. Kerana itu perlu ada kesabaran, kekuatan, ilmu dan pegangan.
Sekian saja coretan saya. Harap2 coretan ringkas ini mampu mengusik hati yang mengerti. Besar harapan para pemudi untuk melihat para syabab (pemuda) kami bangun. Biarpun tidak sehebat tokoh masa silam, cukuplah sekadar tidak lagi mengulangi masa silam. Wassaalam...