Saudara seagama

Abdullah bin Umar r.a berkata , Rasulullah bersabda :



Seseorang muslim dengan muslim yang lain adalah bersaudara . Tidak boleh menganiaya dan menundukkannya . Barang siapa yang melaksanakan hajat seorang muslim , maka Allah akan melaksanakan hajatnya . Dan sesiapa yang melepaskan kesulitan seorang muslim , maka Allah akan melepaskan kesulitannya di hari kiamat dan barang sesiapa yang menutup aib seorang muslim , maka Allah akan menutup aibnya dihari kiamat .

Saturday, May 21, 2011

Feelhoney - Wanita Istimewa bersama Lirik

Bukan Mudah Jadi Remaja



Assalamualaikum. Salam bertemu kembali buat insan yang sudi membaca coretan ini. Perkara ini ditulis, bukan untuk mengata sesiapa,namun buat pedoman kita semua. Bukan berniat untuk mengajar, namun ingin mengajak kita berfikir sebentar.


Melangkah ke alam dunia remaja bukan semudah yang disangka. Cabaran dalam mengejar kejayaan masa depan dengan cabaran dan rintangan yang pelbagai, kadang-kala menggoyahkan keteguhan peribadi dan jati diri yang dipupuk selama ini. Bukan mudah hidup dalam dunia remaja. Berhadapan dengan konflik rakan sebaya, kerenah cinta yang sebelum masanya dan pencarian identiti diri yang masih belum dikenal pasti. Semuanya merungsingkan dan mengusutkan akal fikiran.Bagi insan yang positif dan kukuh pegangan pada janji Ilahi, semuanya dapat diatasi dengan teliti. Bagi insan yang leka dan alpa dengan ujian yang datang, mungkin kecundang ditengah perjalanan sehingga berputus asa dengan janji Tuhan.


Buat insan yang belum diuji, persiapkan diri dengan ilmu dan teguhkanlah peribadi. Terutamanya kepada mereka yang akan menjejakkan kaki ke alam menara gading. Ingat, situasi dan ujian di sana tidak sama dengan alam persekolahan kita. Jauh berbeza. Setiap apa yang kita lalui perlu difikirkan dengan teliti. Tak semua perkara jelas pada zahirnya, kadang-kala ada sesetengah perkara yang perlu kita lihat berdasarkan makna disebaliknya. Dalam erti kata lain, anda perlu menjadi penyiasat (ala2 Detektif Conan) untuk mencari sebuah jawapan yang benar dan tepat. Buat insan yang sedang diuji, panjatkan doa pada Ilahi. Moga Allah permudahkan perjalanan hidup kita dan diteguhkan iman dalam jiwa. Ingat, setiap keputusan yang kita ambil, jangan hanya berdasarkan kepentingan diri sendiri. Nilailah kesannya kepada orang lain dan agama kita. Sebagai individu muslim, kita perlu tahu bahawa setiap perkara yang kita lakukan, individu daripada agama lain akan buat penilaian. Jadi, baik buruknya pandangan mereka tentang Islam, adalah berdasarkan perilaku kita semua. Pada insan yang sudah diuji pula, jadikan semua ujian sebagai pengalaman yang mendewasakan fikiran. Bagi yang telah kalah, jangan terus mengalah. Kuatkan azam, insyaallah masa depan milik kita. Bagi yang berjaya, panjatkan syukur kepada-Nya. Jangan bongkak atau lupa, kerana setiap kemanisan kejayaan itu juga ujian buat kita.

Akhir kalam, buat hati yang diuji, kembalilah pada jalan Ilahi. Kerana kembara hidup ini belum pasti. Kita tak tahu sama ada kita sempat menghabiskan perjalanan, atau terhenti dipertengahan jalan. Kerana hidup ini belum pasti. Entah esok lusa, entah bila, kita bakal dipanggil menghadap-Nya. Carilah identiti diri, raihlah semangat perjuangan yang hakiki, mantapkan iman dihati, yakin pada janji Ilahi. Jaga kehormatan kita, muliakan agama kita. Semoga kita semua menjadi muslim yang sejati yang diredhai.