Saudara seagama

Abdullah bin Umar r.a berkata , Rasulullah bersabda :



Seseorang muslim dengan muslim yang lain adalah bersaudara . Tidak boleh menganiaya dan menundukkannya . Barang siapa yang melaksanakan hajat seorang muslim , maka Allah akan melaksanakan hajatnya . Dan sesiapa yang melepaskan kesulitan seorang muslim , maka Allah akan melepaskan kesulitannya di hari kiamat dan barang sesiapa yang menutup aib seorang muslim , maka Allah akan menutup aibnya dihari kiamat .

Wednesday, December 14, 2011

Tentang Ibu

Assalamualaikum...Sudah lama aku tidak menjengah ruang ini. Usah kata untuk mengukir kata, untuk melihat sahaja pun aku seperti telah kehilangan masa dan idea. Alhamdulillah...hari ini aku diberi kesempatan untuk mengisi ruang ini. Semoga apa yang aku coretkan di sini bakal menjadi sesuatu yang bermanfaat buat insan sejagat, jauh dan fitnah dan maksiat.

Selesai peperiksaan petang tadi, kami sempat berbual tentang program yang akan dilakukan sepanjang cuti selama 9 bulan. Rakanku sempat menceritakan pengalamannya menjaga anak saudaranya. Aku kembali teringatkan kenangan lalu. Ya, saat aku menjadi pengasuh sementara menanti keputusan SPM. Sukar? Begitulah yang dapat aku gambarkan. Aku bersyukur kerana diberi peluang untuk menjaga anak kecil yang berusia 2 tahun ketika itu selama 2 hari tanpa bantuan keluarga. Semuanya bermula apabila emak pergi menghadiri majlis konvokesyen kakak dan aku terpaksa menjaga kanak-kanak itu. Rutinku begini...

Aku mesti bangun sebelum pukul 6 pagi kerana aku terpaksa mengejutkan 2 orang adik lelaki supaya mereka tidak terlewat ke sekolah. Celik sahaja mata, aku harus fikirkan apa yang harus aku masak untuk sarapan mereka. Selesai menguruskan diri, aku akan mula mengejut mereka seawal pukul 6 pagi. Selepas itu, aku akan sibuk menyiapkan sarapan di dapur. Aku ingat ketika itu. 2 orang adikku ini memang liat bangun pagi. Lantas aku mencapai rotan dan melibas bantal peluk mereka. Zupp!!! Dengan muka bengis ( walaupun nak tergelak masa tu), aku memberi amaran, "Bangun!!! Sape tak bangun nanti kak ngah sebat macam tu,". Dengan muka mamai(nampakla muka takut tu), mereka segera ke bilik air. Dalam hati,"Hmmm, baru tau. Kejut elok2 tak nak bangun,". Itulah yang emak hadapi setiap hari.(tapi mak tak pernah la guna rotan nak kejut deme).

Selepas mereka pergi sekolah, aku hanya tinggal berdua dengan adik (budak yang aku jaga tu). Masuk pukul 10 pagi, aku kembali ke dapur, menilik-nilik apa yang harusku masak untuk makan tengah hari. Ketika ini aku diduga lagi. Adik akan mengangis jika ditinggalkan bersendirian di ruang tamu dan dia mahu didukung! Bayangkan...aku terpaksa memotong bawang,sayur dan memasak sambil mengendong adik. Tidak dapatku bayangkan perasaan aku ketika itu. Walaupun terasa susah, namun aku selesaikan juga urusanku (sebab pikir adik2 balik nak makan. Klu tinggal sorang2, sure tak masak masa tu). Teringat sewaktu aku tahun 4, aku perlu segera pulang ke rumah selepas sekolah agama (masa tu sekolah sesi petang) untuk mengendong adik bongsuku di dapur agar dia dapat melihat emak menjemur pakaian. (Klu x, mengangis je)

Apabila adik2ku telah pulang dari sekolah dan adik telah balik, barulah aku dapat merehatkan diri. Namun tidak lama kerana aku perlu siap membasuh dan menyidai pakaian pada malam tersebut.

Begitulah rutinku selama 2 hari. (nasib baik 2 hari)

Apabila mendengar cerita rakan-rakanku yang mereka tidak sanggup menjaga anak saudara mereka kerana pelbagai ragam dan keletah, aku tersenyum sendiri kerana aku juga pernah melaluinya. Ingatlah, kita ambil pengalaman itu seketika, namun ibu menjaga kita lebih lama. Memang bukan mudah, namun percayalah pengalaman itu sangat indah. Sehari-hari melayan keletah si kecil itu, memang amat meletihkan. Namun, setelah hampir 5 bulan menjaga adik dan apabila tiba ketika aku ingin menyambung pengajian, aku mula terfikir tentang adik. "Macam mana dengan adik kalau aku pergi sekolah nanti?", hatiku berdetik sendiri. Pulang dari sekolah pada hari pertama aku di tingkatan 6, emak menyatakan bahawa adik mencariku disegenap penjuru rumah dan emak menyatakan bahawa aku ke sekolah. Aku tersenyum sendiri. Sungguh, saat tension di sekolah, aku rindu untuk melihat keletah manja adik. Walaupun meletihkan, namun aku tidak pernah merasa bosan. Walaupun kesabaranku diuji, namun dalam hati tidak pernah berputik rasa benci. Malah rasa sayang dan rindu untuk menatap keletah si kecil itu sering bertamu. Subhanallah...masyaallah, hebatnya kuasa dan nikmat kasih sayang Allah itu. Tidak dapat aku gambarkan. Kerana itu, seorang ibu kekal mengasihi anaknya, walau kesabaran itu sering diuji.

Sekian sahaja coretan kata dariku buat kali ini. Semoga mata pena yang tidak bernyawa ini mampu lagi mengukir kata seindah bahasa bagi mengangkat agama dan menyuburkan lagi rasa cinta kepada-Nya.Wassalam...

Saturday, May 21, 2011

Feelhoney - Wanita Istimewa bersama Lirik

Bukan Mudah Jadi Remaja



Assalamualaikum. Salam bertemu kembali buat insan yang sudi membaca coretan ini. Perkara ini ditulis, bukan untuk mengata sesiapa,namun buat pedoman kita semua. Bukan berniat untuk mengajar, namun ingin mengajak kita berfikir sebentar.


Melangkah ke alam dunia remaja bukan semudah yang disangka. Cabaran dalam mengejar kejayaan masa depan dengan cabaran dan rintangan yang pelbagai, kadang-kala menggoyahkan keteguhan peribadi dan jati diri yang dipupuk selama ini. Bukan mudah hidup dalam dunia remaja. Berhadapan dengan konflik rakan sebaya, kerenah cinta yang sebelum masanya dan pencarian identiti diri yang masih belum dikenal pasti. Semuanya merungsingkan dan mengusutkan akal fikiran.Bagi insan yang positif dan kukuh pegangan pada janji Ilahi, semuanya dapat diatasi dengan teliti. Bagi insan yang leka dan alpa dengan ujian yang datang, mungkin kecundang ditengah perjalanan sehingga berputus asa dengan janji Tuhan.


Buat insan yang belum diuji, persiapkan diri dengan ilmu dan teguhkanlah peribadi. Terutamanya kepada mereka yang akan menjejakkan kaki ke alam menara gading. Ingat, situasi dan ujian di sana tidak sama dengan alam persekolahan kita. Jauh berbeza. Setiap apa yang kita lalui perlu difikirkan dengan teliti. Tak semua perkara jelas pada zahirnya, kadang-kala ada sesetengah perkara yang perlu kita lihat berdasarkan makna disebaliknya. Dalam erti kata lain, anda perlu menjadi penyiasat (ala2 Detektif Conan) untuk mencari sebuah jawapan yang benar dan tepat. Buat insan yang sedang diuji, panjatkan doa pada Ilahi. Moga Allah permudahkan perjalanan hidup kita dan diteguhkan iman dalam jiwa. Ingat, setiap keputusan yang kita ambil, jangan hanya berdasarkan kepentingan diri sendiri. Nilailah kesannya kepada orang lain dan agama kita. Sebagai individu muslim, kita perlu tahu bahawa setiap perkara yang kita lakukan, individu daripada agama lain akan buat penilaian. Jadi, baik buruknya pandangan mereka tentang Islam, adalah berdasarkan perilaku kita semua. Pada insan yang sudah diuji pula, jadikan semua ujian sebagai pengalaman yang mendewasakan fikiran. Bagi yang telah kalah, jangan terus mengalah. Kuatkan azam, insyaallah masa depan milik kita. Bagi yang berjaya, panjatkan syukur kepada-Nya. Jangan bongkak atau lupa, kerana setiap kemanisan kejayaan itu juga ujian buat kita.

Akhir kalam, buat hati yang diuji, kembalilah pada jalan Ilahi. Kerana kembara hidup ini belum pasti. Kita tak tahu sama ada kita sempat menghabiskan perjalanan, atau terhenti dipertengahan jalan. Kerana hidup ini belum pasti. Entah esok lusa, entah bila, kita bakal dipanggil menghadap-Nya. Carilah identiti diri, raihlah semangat perjuangan yang hakiki, mantapkan iman dihati, yakin pada janji Ilahi. Jaga kehormatan kita, muliakan agama kita. Semoga kita semua menjadi muslim yang sejati yang diredhai.

Friday, March 25, 2011

Belajar Erti Syukur!

Hari Rabu ( 23 Mac 2010) merupakan hari yang agak meletihkan bagiku. Kebiasaannya aku ke sekolah menunggang motosikal, tapi untuk hari itu, aku pergi menaiki kereta dan pulang menaiki bas. Semuanya gara-gara cuaca yang tidak menentu. Ibu yang risau akan keselamatan dan kesihatanku yang menunggang ketika hujan, mengarahkan aku untuk menumpang kakak.

Amat meletihkan. Tambahan pula, hari Rabu merupakan hari beg sekolah berat. Banyak buku yang perlu dibawa. Ditambah lagi dengan waktu kepulangan yang mesti tidak kurang dari jam 5. Mujur hari itu kokorikulum tidak berjalan seperti biasa, jadi kami berpeluang pulang awal 1 jam.

Hari pertama kembali menaiki bas setelah hampir 10 bulan meninggalkan rutin tersebut, aku agak kekok. Keluar dari pagar sekolah pada pukul 4, aku terlepas bas pada waktu itu. Maknanya, aku perlu tunggu lagi 15 minit untuk mendapatkan bas seterusnya. Malangnya, penantian yang penuh sepi itu hanya berakhir selepas 45 minit. Bas lewat berjalan dari jadual kebiasaannya! Saat itu aku terdengar rungutan " Bas hari ni jalan lambat. Penumpang dah tak ramai. Tu sebab bas jalan lambat. Kalau bas jalan pun, biasanya tak penuh. Tak pulang minyak langsung. Harapkan penumpang dari pelajar sekolah je. Itupun dah kurang sebab sekarang ni semua dah pakai kenderaan". Setibanya pula di stesen bas, adik lambat sampai. Dalam keadaan penat menggila yang melanda diri, dengan beg sandang yang semakin membebani, ditambah dengan kepanasan hati, sabar juga yangmenjadi ubat dan penguat semangat.

Kepenatan tidak berakhir di situ, lambakan kerja sekolah yang perlu diteliti, perut kosong yang minta diisi, membatalkan hasratku untuk melelapkan mata buat seketika.

Apa perasaan ketika itu? Marah? Tertekan? Jauh sekali. Kubuang jauh2 perasaan itu, sambil jauh dilubuk hati memanjatkan syukur. Baru kutahu jerih perih mereka yang terpaksa menaiki bas setiap hari ke sekolah. Itu belum dikira susahnya mencari ilmu dipinggir kota, diceruk rimba.

Dan itu semua harga yang perlu dibayar demi meraih sebuah kejayaan & keberkatan dalam menjejak redha Tuhan. Sesungguhnya perjuangan itu memang pahit, kerana syurga itu manis.

Saturday, March 19, 2011

Bidang Psikologi

Assalamualaikum...dikesempatan ini saya ingin berkongsi beberapa perkara yang terlintas difikiran yang menjadi persoalan kebanyakan teman saya.
Minggu sebelum cuti, ada seorang cikgu bertanya kepada kami tentang universiti dan bidang yang ingin kami ceburi. Ada yang menjawab dengan yakin dan gembira dengan bidang impiannya, namun tidak kurang juga yang masih tercari-cari hala tujunya. Saya yakin, pelajar lepasan SPM atau STPM atau pelajar Ting. 5 mahupun Ting. 6 masih menghadapi dilema tentang perkara ini. Terdapat juga pelajar yang mempunyai bidang yang ingin mereka ceburi, tetapi kurang pasti tentang bidang tersebut. Di sini, saya ingin berkongsi sedikit maklumat tentang bidang psikologi.

Psikologi adalah himpunan bidang akademik, klinikal dan perindustrian yang berkenaan dengan penjelasan dan ramalan mengenai tingkah laku, pemikiran, emosi, motivasi, hubungan peribadi, keupayaan dan patologi.

Bidang berkait:
  • Psikologi uji kaji - yang menumpukan pada asas & sains gunaan
  • Penyelidikan psikologi kuantitatif - menggunakan penyelidikan kuantitatif untuk menyelidik pengalaman subjektif manusia.
  • Psikologi klinikal & Psikologi Kaunseling - untuk membantu manusia mengatasi / menangani patologi serta had tanggapan
  • Psikologi Perindustrian dan Organisasi ( IO) - menggunakan prinsip psikologi kepada mereka yang bekerja dalam sesuatu pertubuhan.

Universiti yang menawarkan bidang ini:

  • UKM
    UIA
    UMS
    UM
    UTM
    UPM
    UPSI

Kerjaya :

1. Bidang Perkembangan

  • Pengajar/ Guru/ Pegawai Bidang Pendidikan Khas
  • Pakar Perkembangan Kanak-kanak
  • Pegawai Perunding Keluarga
  • Pegawai Rundingcara

2. Bidang Sosial

  • Pegawai/ Pekerja Sosial
  • Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat
  • Pegawai Pembangunan Penduduk

3. Bidang Kaunseling

  • Kaunselor sektor awam/ swasta
  • Perunding Kerjaya
  • Motivator
  • Pegawai Antidadah
  • Pegawai Rundingcara

4. Bidang Industri dan Organisasi (IO)

  • Pegawai Sumber Manusia (HR)
  • Pegawai Personel
  • Pegawai Latihan
  • Pegawai Penyelidikan
  • Pegawai Pembangunan
  • Pegawai Perangkaan

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web :

http://fakifikir.blogspot.com

http://fkunhas.com

Wednesday, March 16, 2011

Rahsia? Bukan semua perkara boleh dicerita

Assalamualaikum...Alhamdulillah...setelah sekian lama menyepi diri dari ruangan ini, hari ini aku berkesempatan juga untuk menukirkan rasa yang terpendam, idea yang tersimpan, yang mungkin tak bisa aku ungkapkan. Banyak perkara yang ingin aku coretkan di sini, tetapi semuanya seakan membeku, bagai tidak diizin untuk aku meluahkan semua itu.
Mungkin anda biasa dengar " Ish...dia tu prehsia sangat". Ya, adakalanya kita tidak selesa bergaul dengan rakan yang gemar berahsia. Apa saja yang ditanya, semua jawapannya, " biasa, tak ada apa2" atau pelbagai lagi bentuk jawapan yang tidak memberi sebarang penjelasan.
Aku juga tidak selesa mempunyai rakan sebegitu, namun dalam tidak sedar, aku juga gemar bersikap begitu. Mungkin adakalanya rahsia itu perlu. Contohnya saat ditanya" Dia baik tak kat sekolah?", mungkin senyum adalah jawapan terbaik bagi menjaga aibnya atau demi mengelak daripada memburuk-burukkan seseorang. Begitu juga tatkala seseorang bertanya tentang cinta, hati, perasaan(marah, geram, benci) pada seseorang. Kadangkala perkara itu amat perlu dirahsiakan untuk menjaga hati, peribadi mahupun maruah seseorang atau kita sendiri.
Sampai di sini saja coretanku buat kali ini. Insyaallah...jika diberi keupayaan untuk melontarkan rasa di sini lagi, aku akan menulis lagi. Sampai ketemu lagi... Semoga Allah sentiasa memberkati usaha kita.
Sekian...wassalam.